HomeBERITAAhli Parlimen Kuarantin Hadir, Pembangkang Keluar Dewan

Ahli Parlimen Kuarantin Hadir, Pembangkang Keluar Dewan - huluselangor.com

KUALA LUMPUR – Kehadiran tiga Ahli Parlimen yang sedang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) hari ini mencetus bantahan wakil rakyat pembangkang pada sesi undi belah bahagian untuk Rang Undang-undang Perbekalan 2021 bagi Kementerian Wilayah Persekutuan peringkat jawatankuasa.

Ketiga-tiga Ahli Parlimen itu – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan; dan P. Prabakaran (PH-Batu); – masuk ke Galeri Awam Dewan Rakyat dengan mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk turut serta dalam proses pengundian.

Keadaan itu menyebabkan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar bangkit mempersoalkan rasional membenarkan ketiga-tiga Ahli Parlimen itu memasuki dewan untuk mengundi. 

Turut bangun mempersoalkan tindakan itu ialah Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman yang mendakwa kehadiran tiga Ahli Parlimen itu meningkatkan risiko jangkitan kepada wakil rakyat lain serta keluarga mereka.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata keputusan ini dibuat susulan tindakan seorang Ahli Parlimen yang bertindak melanggar kuarantin dan menyertai proses undian pada minggu lepas.

“Alasannya kerana mereka hendak mengundi, pada Khamis lalu terdapat Ahli Parlimen dari sebelah sini (pembangkang) yang tidak mematuhi perintah kuarantin dan datang mengundi.

“Saya tidak mahu perkara itu berlaku, lebih baik saya regulate (kawal atur) proses pengundian ini,” katanya. 

Selepas lebih lapan minit bangkit mempersoalkan keputusan Azhar, sebahagian besar Ahli Parlimen blok pembangkang bertindak keluar dewan sebagai tanda protes.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 kementerian itu diluluskan di peringkat jawatankuasa dengan undi belah bahagian apabila 110 Ahli Parlimen menyokong, tujuh tidak bersetuju, 31 tidak mengundi manakala 72 tidak hadir.

Terdahulu sebelum sesi perbahasan peringkat jawatankuasa bermula, Azhar menjelaskan terdapat permintaan daripada tiga Ahli Parlimen yang menjalani HSO untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Azhar berkata Ahli Parlimen berkenaan dibawa dengan ambulans dan sejurus tiba di Parlimen akan ditempatkan di bilik khas. – BERNAMA

HomeBERITAAhli Parlimen Kuarantin Hadir, Pembangkang Keluar Dewan

Berkaitan

POPULAR