Kontinjen negara kembali ceria, raih emas ketiga menerusi skuad badminton

0
576

BIRMINGHAM — Selepas dua hari tanpa kilauan emas, kontinjen negara boleh menarik nafas lega, apabila kembali meraih sebutir emas pada kelima temasya Sukan Komanwel Birmingham di sini hari ini (2 Ogos 2022).

Kejayaan skuad badminton menghadiahkan pingat emas dalam acara berpasukan campuran itu, sekali gus meletakkan kontinjen negara berada di landasan tepat dalam mencapai sasaran enam emas pada temasya sukan berprestij tersebut.

Pasukan badminton kebangsaan muncul juara edisi Birmingham selepas menumpaskan juara bertahan, India 3-1 di pentas final, sekali gus menebus kekecewaan tumpas 1-3 di tangan lawan yang sama itu pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.

Kredit juga harus diberikan kepada atlet muda judo negara Amir Daniel Abdul Majeed, yang menyumbangkan pingat gangsa dalam kategori 73 kilogram (kg) lelaki hari ini.

Kejayaan skuad badminton dan judo negara itu menyaksikan kontinjen negara setakat ini meraih keseluruhan tiga pingat emas, dua perak dan tiga gangsa.

Australia kekal di kedudukan teratas dalam carta pungutan pingat apabila meraih 42 pingat emas, 32 perak dan 32 gangsa, diikuti tuan rumah England di tempat kedua dengan 31-34-21, manakala New Zealand memenangi 13-7-6.

Dua pingat emas sebelum ini disumbangkan kem angkat berat negara pada Sabtu lepas (30 Julai).

Selepas menampilkan pencapaian cemerlang dengan keseluruhan meraih dua pingat emas dan satu perak, kontinjen negara pastinya mengharapkan skuad angkat berat mampu menghadiahkan sesuatu apabila Muhammad Hafiz Shamsuddin turun bersaing dalam kategori 109kg lelaki, pada Rabu.

Di Stadium Alexander, peminat olahraga tanah air sudah tentu mahu melihat kemampuan atlet berpangkalan di Amerika Syarikat, Shereen Samson Vallabouy apabila bersaing dalam acara 400 meter wanita.

Selain itu, jaguh lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa akan turun beraksi di peringkat final acara berkenaan, pada Rabu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.