PPBM Bahagian Kangar didakwa lumpuh, ketua cawangan, AJK dan ahli keluar parti

0
182
  • Ekoran tindakan keluar parti beramai-ramai itu, difahamkan kepimpinan bahagian tersebut kini hanya tinggal Abu Bakar dan beberapa ahli jawatankuasa sahaja.
  • Belum membuat sebarang ketetapan untuk menyertai mana-mana parti politik.
  • Keputusan mereka keluar parti itu secara tidak langsung turut memberi kesan kepada PPBM negeri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

KANGAR: Parti Pribumi PPBM Malaysia (PPBM) Bahagian Kangar didakwa lumpuh selepas hampir kesemua ahli jawatan kuasa serta ketua-ketua di lapan cawangan di sini meletak jawatan seterusnya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Lebih parah, hampir 1,000 ahli di bahagian berkenaan dikatakan turut mengikut jejak langkah sama selepas hilang kepercayaan kepada Ketua Bahagian merangkap Pengerusi PPBM negeri, Abu Bakar Hamzah.

Ekoran tindakan keluar parti beramai-ramai itu, difahamkan kepimpinan bahagian tersebut kini hanya tinggal Abu Bakar dan beberapa ahli jawatankuasa sahaja.

Selain Timbalan Ketua PPBM Bahagian Kangar, Shaharani Husin, peletakan jawatan itu turut melibatkan Ketua Angkatan PPBM Anak Muda (Armada) dan pemangku Ketua Srikandi selepas mereka mencapai kata sepakat kecewa dengan kepimpinan Abu Bakar.

Shaharani berkata, kepimpinan bahagian dan negeri dilihat sudah lari daripada perjuangan asal parti selain bersifat berat sebelah dengan meminggirkan kebanyakan ahli jawatankuasa yang menang dalam pemilihan parti itu sebelum ini.

Ujar beliau, pihaknya tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan PPBM pusat sebaliknya keputusan tersebut diambil disebabkan kecewa dengan Abu Bakar.

“Pada masa ini, kami belum membuat sebarang ketetapan untuk menyertai mana-mana parti politik.

“Dengan tindakan keluar parti dan meletak jawatan secara beramai-ramai itu secara tidak langsung menyebabkan PPBM Bahagian Kangar lumpuh selain turut memberi kesan kepada kepimpinan negeri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan krisis kepimpinan PPBM di bahagian itu semakin parah apabila lebih 800 penyokong parti itu di Kuala Perlis keluar parti.

Mengikut jejak langkah sama pada masa itu, Naib Ketua PPBM Bahagian Arau, Mejar (B) Sharif Abdul Razak yang turut mengumumkan peletakan jawatannya.

Sementara itu, Shaharani berkata, keputusan mereka keluar parti itu secara tidak langsung turut memberi kesan kepada PPBM negeri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Lantikan yang dilakukan Abu Bakar dalam senarai ahli jawatankuasa bahagian dilihat seperti meminggirkan kami yang menang dalam pemilihan sebelum ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.