Apa azam Harimau Malaya?

0
301
Apa azam Harimau Malaya?

Tidak terlambat buat penulis untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2022 kepada pembaca akhbar Kosmo!. Semoga tahun baharu ini memberi keazaman baharu kepada semua untuk menjalani kehidupan lebih bagus dan positif.

Tidak dapat dinafikan, setiap kali tahun baharu rutinnya boleh dikatakan sama kerana bercakap mengenai azam baharu, semangat baharu, sasaran baharu dan sebagainya. Namun, adakah tekad dalam diri mampu membawa kita mencapainya?

Bercakap mengenai tekad, kelmarin rakyat Malaysia terutama peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan keputusan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan.

Ia susulan kegagalan skuad Harimau Malaya untuk meloloskan diri dari peringkat Kumpulan B pada saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang dijuarai Thailand selepas menewaskan Indonesia.

Keputusan Cheng Hoe meletakkan jawatannya itu mungkin disebabkan beliau mahu bertanggungjawab ekoran kegagalannya menjulang skuad kebangsaan pada saingan berprestij di Asia Tenggara tersebut.

Penulis tabik Cheng Hoe kerana bersikap gentleman melepaskan jawatannya meskipun ada segelintir berpendapat bekas jurulatih skuad Helang Merah itu dijadikan sebagai kambing hitam.

Benar, seberat-berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Semua mata hanya tertumpu kepada Cheng Hoe seolah-olah hanya beliau yang bersalah apabila skuad kebangsaan mengalami kekalahan sedangkan ramai lagi pihak yang berkaitan menyorok diri.

Memang tahun 2021 bukan tahun yang bagus buat skuad Harimau Malaya apabila kekalahan lebih banyak mewarnai keputusan pasukan bimbingan Cheng Hoe, namun setiap kali itulah beliau dikritik bertalu-talu.

Apabila meraih kemenangan, ramai pula yang tampil ke hadapan mendapatkan kredit dan kebanggaan tanpa ada rasa segan serta silu. Seharusnya bukan seorang yang melepaskan jawatan, patut ada beberapa lagi perlu tampil bertanggungjawab sama seperti Cheng Hoe.

Jika benar-benar mahu menyaksikan skuad Harimau Malaya mengaum gah, ‘pembersihan’ perlu dilakukan. Kaji semula polisi yang tidak kena. Berani mengakui projek di peringkat senior gagal dan seterusnya bertanggungjawab.

Sebelum ini, jadual Liga Malaysia dipetik sebagai punca skuad kebangsaan tidak cukup masa melakukan persiapan selain kekangan dek pandemik Covid 19. Ini pun satu hal, bagaimana tiada kesepakatan tentang jadual domestik dan antarabangsa.

Harus diingatkan, masalah yang berlaku itu pastinya terjadi kepada pasukan-pasukan lain, dalam erti kata lain bukan eksklusif buat Malaysia kerana pandemik Covid-19, jadual dan persiapan terjadi di seluruh dunia. Hanya tinggal lagi bagaimana menguruskan hal itu dengan sebaiknya.

Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Apa gunanya melaung-laungkan bola sepak sebagai sukan No.1 negara sedangkan skuad Harimau Malaya terperosok jauh dari segi ranking dunia.

BACA juga:

Original Article

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.