KAEDAH 'DURI ROTAN' (SAIT) BANTU KESAN MANGSA BUAYA DI OYA, DALAT

18
392

MUKAH: Warga emas yang dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya ketika menjala di Sungai Batang Oya, Dalat pagi tadi ditemui kira-kira jam 7.20 malam tadi.

Mayat Sili Ismail, 60, dari Kampung Bakong, Oya ditemui oleh penduduk kampung tidak jauh dari lokasi perahunya ditemui dengan terdapat kesan gigitan buaya pada bahu mangsa.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Borhan Sufyan ketika mengesahkan penemuan itu, berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Mukah untuk bedah siasat.

“Penduduk kampung menggunakan kaedah tradisional ‘duri rotan’ bagi membantu operasi SAR yang dijalankan dengan turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Berikutan perkembangan terbaru itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dihentikan sepenuhnya kira-kira jam 8.15 malam ini,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Farhan berkata, punca kematian mangsa sedang dikenal pasti, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan warga emas itu dibaham buaya berdasarkan kesan kecederaan dialami.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, anggota penyelamat turut melihat kemunculan reptilia itu sebanyak dua kali di sekitar lokasi pencarian.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada buaya berkenaan yang menyerang mangsa,” katanya.

Dalam kejadian jam 8 pagi tadi, seorang nelayan dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya ketika keluar menjala di Sungai Batang Oya berhampiran rumahnya.

Operasi SAR yang dilancarkan sejurus dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa hanya menemui perahu digunakan warga emas berkenaan dengan terdapat kesan gigitan buaya pada tepi perahu.

20161111-sili-ismailbaham-buaya-oya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.