‘Menangis’ masjid ditutup semula akibat PKP

0
554

“Rata-rata jemaah masjid di negeri ini sedih namun perlu akur apabila masjid terpaksa ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu mulai esok,” ujar Yaakob Idris, 63.

Menurutnya, kebanyakan jemaah masjid di negeri ini dibenarkan menunaikan solat berjemaah bermula 12 Jun tahun lalu selepas arahan PKP ditarik balik.

“Namun arahan menguatkuasakan semula PKP semalam amat mengejutkan. Kami bakal merindui solat fardu berjemaah di masjid sekali lagi

“Buat kali kedua masjid akan ditutup dan solat fardu secara berjemaah hanya dibenarkan untuk tiga hingga lima orang ahli jawatankuasa (AJK) masjid.

Sementara itu, Saadon Hassan, 64, berkata, dia terpaksa menerima langkah kerajaan menguatkuasakan PKP dengan berat hati, terutama dalam aspek penutupan masjid.

“Sebagai warga emas, tiada apa yang lebih menggembirakan selain mampu menunaikan solat fardu berjemaah di masjid.

“Saya sangat gembira apabila masjid dibuka semula pada 12 Jun lalu selepas ditutup sejak 18 Mac 2020 akibat PKP. Tetapi mulai esok, saya terpaksa bersolat di rumah,” katanya.

Bermula 12 Jun lalu, kerajaan negeri membenarkan orang ramai kembali berjemaah di masjid dan surau untuk menunaikan solat Jumaat dan solat fardu selain mengadakan aktiviti keagamaan.