[VIDEO] Kes rasuah: Reman pendaftar perkahwinan disambung tiga hari

Suspek pertama itu dipercayai berurusan dengan pemilik syarikat itu menerusi bapanya yang bertindak sebagai orang tengah dan dipercayai melakukan perbuatan itu dari 2022 hingga 2023.

0
265

Tempoh reman terhadap tiga lelaki termasuk pendaftar perkahwinan di sebuah jabatan di Perlis yang berakhir hari ini, disambung tiga hari lagi untuk melengkapkan siasatan kes rasuah RM1.18 juta melibatkan urusan pendaftaran perkahwinan pasangan bernikah di Thailand.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata sambungan reman sehingga 12 Jun terhadap pegawai jabatan kerajaan itu dan seorang pemilik syarikat bersama bapanya, masing-masing berusia lingkungan 40-an, 20-an dan 50-an dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Ahmad Hamdi Mustafar.

Rabu lepas, dilaporkan ketiga-tiga suspek itu direman lima hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.

Laporan itu menyebut suspek pertama yang merupakan pendaftar perkahwinan dipercayai menerima wang rasuah RM1.18 juta daripada pemilik syarikat tersebut untuk membolehkan pasangan yang bernikah di Thailand mendaftar perkahwinan di jabatan agama di Perlis tanpa melalui prosedur ditetapkan.

Suspek pertama itu dipercayai berurusan dengan pemilik syarikat itu menerusi bapanya yang bertindak sebagai orang tengah dan dipercayai melakukan perbuatan itu dari 2022 hingga 2023.

Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

BACA juga: