Hak wanita yang berzina

0
255

Ramai kawan-kawan saya masih nak tahu jika ada jawapan untuk persoalan saya ni kerana ia tidak dibincangkan selama ini:

1) Adakah mana-mana rujukan untuk seorang wanita itu menuntut lelaki yang berzina dengannya mengahwininya?

2) Lelaki yang sudah banyak menabur kata janji yang membuat wanita-wanita ini terpedaya terlalu ramai yang lepas lari terutama yang sudah berkahwin dan rasa tidak ada keperluan menambah tanggungajwab yang sedia ada.

Bagaimana kita nak membela nasib-nasib wanita yang begini? Selain berdoa untuk Tuhan memberi petunjuk, wanita-wanita ini mahu tahu jika ada rujukan untuk mereka bertitik tolak dalam doa mereka untuk bertaubat dan meminta lelaki itu sama-sama melakukannya sebagai sepasang suami isteri yang sah.

Mawar.

*****************

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ

الزَّانِي لَا يَنكِحُ إلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَا إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ

Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak menikahi melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik. Manakala perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak dinikahi kecuali oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Pernikahan yang demikian itu dilarang kepada orang-orang yang beriman.

Al-Nur 24:3

***************

Islam mengiktiraf pernikahan dan meletakkan hak dan tanggungjawab antara pasangan lelaki dan wanita yang berkahwin. Jika bertunang sekalipun, ia masih belum mengikat sebarang tanggungjawab dan hak sebagai suami isteri. Jadi belum ada rukhsah untuk keluar berdua-duaan dengan tunang sahaja.

Hak dan tanggungjawab dibebankan kepada suami isteri yang merangkumi nafkah lahir, nafkah batin dan didikan agama. Mana-mana agama mengiktiraf pernikahan dan mengharamkan perbuatan zina.

Justeru itu perlu difahami bahawa selain ikatan pernikahan, TIADA TANGGUNGJAWAB DAN HAK yang boleh dituntut antara lelaki dan wanita yang berzina. Mereka adalah dua orang asing, dan perzinaan mereka hanya membawa tanggung jawab untuk bertaubat dengan taubat nasuha.

Ia juga bermaksud bahawa wanita yang berzina tidak mempunyai hak istimewa untuk dipaksa ke atas lelaki yang menzinainya. Begitu juga lelaki tersebut TIDAK MEMPUNYAI hak istimewa ke atas wanita yang dizinainya.

Ibn Taymiah menyatakan pendapatnya dalam Kitab Majmu’ al-Fatawa bahawa perempuan berzina HARAM bernikah kecuali selepas bertaubat. Sama ada dengan lelaki yang berzina dengannya atau lelaki lain. Inilah pandangan yang betul tanpa ragu-ragu lagi memandangkan ia pendapat majoriti fuqaha’ salaf (dahulu) dan fuqaha’ kontemporari.

Pandangan ini juga merupakan tafsiran kepada ayat 3 surah Al_Nur yang dinyatakan di atas.

Kedua-dua pasangan berzina bukan sahaja tidak punyai hak antara sama lain, malah jika keduanya ingin bernikah, keduanya wajib bertaubat. Kemudian menunggu si wanita suci dari haidnya telebih dahulu. Jika wanita itu hamil, maka hendaklah menunggu selepas melahirkan.

Berdasarkan huraian di atas, jawapan ringkas yang dapat diberikan kepada persoalan ialah;

1. Tiada rujukan yang membolehkan wanita menuntut lelaki yang berzina dengannya agar menikahinya.

2. Lelaki itu menanggung sendiri dosa-dosanya menabur janji palsu dan merosakkan anak-anak gadis. Jika lelaki itu pernah berkahwin, hukuman yang layak baginya ialah direjam dengan batu sampai mati. Bukannya mengahwini gadis yang pernah dinodainya. Jika pasangannya wanita yang pernah berkahwin atau isteri orang, maka kedua-dua wajar direjam sampai mati. Perzinaan adalah perbuatan kehaiwanan yang sangat tercela. Ia menceroboh peribadi, institusi kekeluargaan dan merosakkan keturunan.

Dalam hal ini, sekiranya wanita itu memelihara maruah dirinya sebagaimana tuntutan syariat, PASTI mereka akan selamat dari tipu daya lelaki yang tidak baik.

Wanita yang baik akan menundukkan pandangannya dari bertentang mata dengan lelaki ajnabi tanpa keperluan.

Wanita yang baik tentu tidak akan melayan lelaki ajnabi tanpa ada keperluan syarak.

Wanita yang baik tentu tidak akan mendedahkan auratnya kepada lelaki ajnabi.

Wanita yang baik tentu akan sentiasa meminta pandangan walinya seperti bapa, abang serta taat kepada mereka selagimana mereka tidak menyuruh berbuat munkar.

Wanita yang baik tidak akan keluar berdua-duaan dengan lelaki ajnabi meskipun lelaki itu sudah menjadi tunangnya.

Wanita yang baik tidak akan menyerah mahkotanya yang paling berharga sebelum dinikahi oleh pasangannya walau apa janji yang diberikan.

Saya tertarik dengan pengalaman Wardina menolak ajakan kekasihnya melakukan maksiat.

Wardina berkata dia mula tersedar akan khilaf yang dilakukan dahulu apabila ditinggalkan bekas teman lelakinya yang mahu layanan lebih daripada seorang kawan.

Kata wanita ini, walaupun ketika itu kehidupannya agak bebas tetapi dia sentiasa mengingati pesan ibu bahawa seorang perempuan hanya boleh ‘disentuh’ oleh suami sendiri.

“Satu hari selepas boyfriend saya tinggalkan saya, saya terkapai-kapai. Dia kata sayang saya tetapi saya ditinggalkan, saya tanya diri sendiri, apa saya nak buat ni? Saya ni nak jadi apa? Saya tak tahu saya nak jadi apa, saya tak tahu.

“Setiap hari makan bangun tidur, malam pergi kelab malam, enjoy, balik rumah, itukah tujuan hidup kita? Saya terdiam dan saya cakap dekat mak saya mahu menunaikan umrah.

“Saya pergi Makkah dengan niat, Ya Allah, tolonglah bagi saya hidayah Ya Allah, saya amat memerlukan kasih daripada Allah, kalau Allah tidak sayang saya, tidak ada gunanya saya hidup.

“Orang lain tidak sayang saya, orang lain tidak suka saya, saya tidak kisah, tapi kalau Allah tidak sayang saya, saya tidak boleh hidup,” katanya.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0221&pub=utusan_malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_08.htm&arc=hive#ixzz4BTFCmekq

Benar, Wardina kehilangan teman lelakinya itu namun maruahnya selamat sehingga dia menemui jodoh dengan lelaki yang lebih baik. Rentetan peristiwa ditinggalkan kekasih, Wardina menjadi sedih tetapi kesedihan itulah yang membawa dirinya mendekatkan diri kepada Allah. Bukankah setiap takdir Allah akibat mempertahankan nilai yang baik itu ada hikmahnya yang amat besar buat kita?

Lebih baik ditinggalkan kekasih kerana mempertahankan maruah dari ditinggalkan kekasih setelah madu dihisap rakus.

Setiap wanita hanya boleh disentuh oleh suaminya sendiri.

Jika wanita menjaga semua adab pergaulan yang sememangnya telah digariskan oleh Islam, maka wujudkah ruang untuk mereka berzina?

Jika dari awal wanita tidak melayan lelaki, adakah lelaki berpeluang memujuk rayu dan mengemukakan pelbagai janji palsu?

Pokok pangkalnya, wanita yang berzina harus memuhasabah dirinya sendiri terlebih dahulu sebelum melihat kesalahan orang lain.

Jika benar-benar menyesal, hendaklah kembali kepada al-Quran dan Sunnah dan mengambilnya sebagai panduan hidup. Sentiasa memohon keampunan dan rahmat Ilahi agar kita dikembalikan dalam keadaan Allah mengampunkan dosa dan memandang kita dengan reda.

3. Wanita itu harus membela nasib mereka sendiri dengan;

a) Menambah ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah.

b) Bertaubat dengan taubat nasuha yang membawa maksud; mengubah penampilan mereka agar benar-benar menutup aurat sebagaimana yang digariskan syariat, menjaga batas pergaulan dengan lelaki ajnabi, menjaga ibadah wajib seperti solat 5 waktu, puasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji.

c) Tinggalkan kawan yang tidak baik seperti kawan yang bebas pergaulannya, tidak menutup aurat dan memilih kawan yang baik agar mereka tidak lagi kembali ke lembah maksiat seperti dulu.

Mengenai jodoh mereka, pasrahlah kepada Allah yang menentukan selepas kita bertaubat. Hanya Allah yang Maha Tahu adakah kita benar-benar bertaubat dan adakah taubat itu diterimaNya. Percayalah, jika kita benar-benar bertaubat dan bertaqwa kepada Allah, Allah pasti beri jalan keluar yang tidak disangka-sangka.

Usah terlalu berharap kepada pasangan yang menzinainya kerana belum tentu mereka bertaubat dari dosa yang lalu. Tanda taubat mereka ialah mereka akan mencari pasangan yang berzina dengannya untuk dijadikan isteri. Pohonlah kepada Allah dijodohkan dengan lelaki yang baik agar hidup lebih terpandu di masa akan datang. Pasangan yang sesuai bagi wanita berzina yang sudah bertaubat adalah lelaki yang bertaubat juga.

Wallahu’alam.

Ummu Abbas

Petikan: sayangIslam.com

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.