‘Nampaknya hubungan kita seperti tak lama’ – Zahida

0
2867

PUTERI Umno menempelak Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana didakwa angkuh dan sombong.

Ia susulan kenyataan dimuat naik Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu du Facebook, seolah-olah memperkecilkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan dalam status ringkas di Facebook turut mengingatkan Wan Ahmad Fayhsal berkenaan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih dan Tanjung Piai.

Kedua-dua PRK itu yang berlangsung sebelum kewujudan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyaksikan Bersatu kalah teruk kepada BN.

“Kalau inilah cara pemimpin Armada, nampaknya hubungan kita seperti tak lama,” kata Zahida.

Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal berkata susulan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, PN terbukti punya kekuatan tersendiri biarpun orang kampung kata “setahun jagung”.

Katanya, PN tidak dibebani isu legasi, “trust deficit” kerana masih baru dan segar, malah kekuatannya banyak terkumpul pada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak ponggah, angkuh dan amat merai kerjasama, asalkan matlamat utama menubuhkan kerajaan yang kuat, berintegriti dan beramanah tercapai.

“Barulah rakyat sayang, tidak dibayangi dengan skandal dan masalah yang kronik sehingga rakyat susah nak percaya.

“Kita akan perkukuhkan koalisi ini bersama rakan kita PAS dalam usaha berdepan dengan PRU-15 yang bakal tiba tak lama lagi.