‘Sarawak Darul Hana’ isu mainan PAS kata KM Sarawak

0
1541

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak merancang untuk menukar nama negeri itu menjadi “Sarawak Darul Hana”, sebagaimana dicadangkan oleh PAS, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg.

“Isu ini dimainkan oleh PAS. Apa sahaja yang ingin disampaikan oleh PAS, biarkan mereka. Tetapi tidak ada percubaan (oleh pemerintah GPS) untuk menggunakan istilah ‘Sarawak Darul Hana’.

“PAS sengaja membangkitkan isu ini kerana mereka tiada masalah lain dengan kerajaan negeri,” kata Abang Johari kepada wartawan.

Penggunaan nama “Darul Hana” oleh PAS mencetuskan bantahan daripada masyarakat dan beberapa NGO tempatan.

“Yang kita ada sekarang hanyalah Jambatan Darul Hana dan Kampung Darul Hana,” tambah Abang Johari setelah merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-24 Majlis Perbandaran Padawan dan melancarkan mural “Ring Ladies” di Kota Padawan.

Abang Johari berkata, bukan mudah untuk menukar nama negeri menjadi Sarawak Darul Hana kerana ia perlu melalui DUN untuk mendapat persetujuan.

Semalam, Pesuruhjaya PAS negeri Jofri Jaraiee berkata, istilah “Darul Hana” digunakan semasa pemerintahan Sultan Tengah dari tahun 1627 hingga 1657 dan ia bermaksud “tempat yang harmoni dan selamat” untuk semua orang.

Lima NGO tempatan mengeluarkan kenyataan yang menyebut bahawa penggunaan istilah “Darul Hana” secara berterusan boleh mengganggu keharmonian kaum dan agama di negeri itu.

Ia ditandatangani oleh timbalan presiden Persatuan Dayak Think Thank Edward Awan, presiden Kongres Nasional Dayak Paul Raja, presiden Persatuan Iban Sarawak Samuel Suring, presiden Persatuan Balang Balai Nyabong Mengga Mikui, dan setiausaha Persatuan Dayak Iban Sarawak Miri Rafael Dru.

NGO terbabit mahu PAS dan kumpulan lain berhenti menggunakan istilah “Sarawak Darul Hana” dengan segera.

Mereka mendakwa penggunaan istilah “Darul Hana” untuk menggambarkan Sarawak adalah usaha untuk mengubah identiti negeri itu dari negeri sekular menjadi negara berdasarkan agama.

Berhubung pilihan raya negeri akan datang, Abang Johari berkata, mereka pada mulanya bercadang mengadakannya tahun ini, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

“Kerajaan kita bertanggungjawab. Keselamatan orang ramai lebih utama, jadi kita harus menangguhkannya.

“Saya masih tidak tahu bila ia akan diadakan,” katanya ketika ditanya sama ada ia akan diadakan pada Feb atau Mac tahun depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.