PPBM Sertai Sekretariat MN Bersama Umno, PAS, Kata Annuar

0
745

Umno, PAS dan kini PPBM berada dalam sekretariat bersama Muafakat Nasional (MN) dan akan meneroka kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk kelompok bukan-Melayu dan bukan-Islam.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Annuar Musa mengumumkan perkara itu sekali gus berkata, gabungan 3 parti terbesar orang Melayu itu akan bekerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk bukan-Melayu dan bukan-Islam bagi menentang Pakatan Harapan (PH) secara satu lawan satu.

“Sekretariat MN yang kini dianggotai PAS, Umno dan PPBM akan membuat ‘engagement’ secara rasmi dengan pelbagai parti dan badan bukan-Melayu dan bukan-Islam untuk memperkasakan lagi saf perpaduan bagi menentang PH secara satu lawan satu,” katanya melalui Twitter hari ini.

Annuar yang juga setiausaha agung Barisan Nasional (BN) berkata, Umno, PAS dan PPBM harus berani meneroka politik normal baru dan membuat tawaran baru kepada Malaysia.

“Kita ambil pendekatan yang inklusif berpaksikan agenda rakyat, serta bertindak cemerlang dengan idea dan tawaran baru berasaskan pemikiran di luar kotak,” katanya.

Dalam pada itu, pemimpin kanan PAS, Umno, PPBM, MCA dan MIC yang membentuk gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dijadualkan berada di pentas yang sama dalam siri ceramah untuk memenangkan calon BN sempena pilihan raya kecil (PRK) Slim malam ini.

Selain Annuar, acara itu bakal menampilkan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan rakan sejawatannya daripada PPBM, MCA dan MIC iaitu Hamzah Zainudin, Chong Sin Woon dan M Asojan.

Sebelum ini, pemimpin tertinggi PAS dan Umno mengesahkan menjemput PPBM untuk menyertai gabungan MN.