HomeBERITA16 Kematian, 2,643 Kes Baharu Covid-19 Hari Ini

16 Kematian, 2,643 Kes Baharu Covid-19 Hari Ini - huluselangor.com

KUALA LUMPUR – Biarpun jangkitan baharu Covid-19 mencatatkan penurunan kepada 2,643 kes hari ini berbanding 3,027 semalam namun 16 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam menjadikan kes kematian tertinggi direkodkan bagi tempoh 24 jam setakat ini. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 131,108 kes dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 25,140 kes.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan bilangan kes sembuh Covid-19 sebanyak 2,708 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 105,431 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah 2,641 kes.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,086 kes (41.1 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 904 kes (83.2 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 401 kes (15.2 peratus) dan Johor sebanyak 298 kes (11.3 peratus).

“Sebanyak 79 kes (3.0 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (73 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes), Kluster Tembok Choh (2 kes), dan Kluster Tembok Gajah (1 kes),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat pertambahan 16 kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 537 kes atau 0.41 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 170 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 82 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“KKM turut mengesan enam kluster baharu hari ini iaitu Kluster Jalan Klinik, Kluster Tapak Bina Hevea, Kluster Bukit Belimbing, Kluster Kauran, Kluster Kapital dan Kluster Setapak Indah,” katanya. – myMetro Online

HomeBERITA16 Kematian, 2,643 Kes Baharu Covid-19 Hari Ini

Berkaitan

POPULAR