Sekurang-kurangnya 15 orang lemas dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi tambak ke sebuah kuil di Yangon, Myanmar semalam.
Dalam kejadian 7.30 pagi itu, ribuan penganut Buddha menuju ke kuil Pagoda Kyeik Hne, yang terletak tiga kilometer dari pantai bandar Thanbyuzayat.
Pegawai tempatan berkata, ada antara mangsa terkorban apabila mereka cuba menyeberangi laluan di tambak selebar empat meter yang tidak ditandakan dengan jelas dan ditenggelami air.
“Kami biasanya membenarkan orang ramai datang pada jam 6.30 pagi tetapi mereka mengabaikannya dan cuba menyeberang terlalu awal,” kata pegawai tempatan, Nai Sahai Eain kepada AFP.
Lebih banyak lagi individu lemas selepas itu apabila mereka bersesak dari laluan pejalan kaki yang dipenuhi orang ramai, untuk menuju ke laut.
Anggota kecemasan dari Thanbyuzayat, Ko Kyaw Thu, memberitahu AFP bahawa 15 mayat sudah dibawa ke hospital dan tiga individu masih hilang.