KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengesahkan sudah menerima 11 laporan daripada individu yang dikaitkan dengan dakwaan kes salah guna kuasa dan rasuah sepertimana yang didedahkan Edisi Siasat melalui laman Twitternya @edisi_siasatmy.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, siasatan dilakukan daripada pelbagai sudut termasuk aspek penafian individu yang didakwa.
“Kita kena siasat kedua-dua pihak membabitkan pengadu dan pengguna laman Twitter itu. Kita boleh menjalankan siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Bagaimanapun, macam isu rasuah ia di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka mereka boleh siasat perkara itu,” ujarnya ketika sidang akhbar di pejabat Komersial Bukit Aman, dekat sini hari ini.
Ketika ditanya berkenaan pengendali laman Twitter itu sama ada akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat, Mohd. Kamarudin menjelaskan, pihaknya masih dalam proses mengenal pasti individu di sebalik laman tersebut.
“Kita masih siasat siapa dalang di ‘belakang’ @edisi_siasatmy untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang membuat laporan polis berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah sepertimana yang didedahkan pengendali laman sosial Edisi Siasat.
Menerusi laman Twitter @edisi_siasatmy mendedahkan beberapa pegawai tertinggi di Bukit Aman menjual pangkat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah termasuk dalam bentuk kambing dan lembu.
Pihak terbabit juga memetik pengarah pengurusan tertinggi agensi penguat kuasa didakwa cuba melindungi sindiket dan terbabit rasuah.