HomeBERITA10 daripada 18 kes COVID-19 dalam masyarakat terkait kelompok pasar Bukit Merah...

10 daripada 18 kes COVID-19 dalam masyarakat terkait kelompok pasar Bukit Merah View - huluselangor.com

SINGAPURA: Lebih separuh daripada 18 kes COVID-19 dalam masyarakat yang dilaporkan di Singapura pada Isnin (14 Jun) berhubung kait dengan kelompok di Pasar dan Pusat Penjaja 115 Bukit Merah View.

Dalam kemas kininya pada sebelah malam, Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan sepuluh jangkitan terkait dengan kelompok itu, termasuk dua penjual gerai makanan, seorang penolong tukang masak dan seorang pekerja am di sebuah gerai makanan.

Enam kes lain yang terkait dengan kelompok pasar Bukit Merah itu adalah: Seorang jurutera IT di IBM (Changi Business Park Central 1), seorang pelajar ITE Kolej Tengah, seorang wanita yang tidak bekerja, dua orang pesara dan seorang penjaja di Pusat Penjaja Telok Blangah Drive.

Kesemuanya sebanyak 16 kes disahkan terkait dengan kelompok jangkitan pasar Bukit Merah View.

Pasar itu ditutup sejak Ahad dan akan terus ditutup sehingga Selasa untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan menyeluruh bagi memutuskan sebarang rantaian jangkitan.

KELOMPOK KES 64184

Enam kes lain dalam masyarakat terkait dengan Kes 64184, seorang jurutera lelaki yang bekerja di Ecoxplore Pte Ltd.

Kes-kes itu merangkumi tiga pekerja pembersihan yang bertugas di Ascent (Science Park Drive), Eunike Living dan kondominium Emerald Park.

Lagi tiga kes dalam masyarakat terkait dengan Kes 64184 adalah seorang pelajar di Amity Global Institute, penganalisis Pinnacle Credit Services dan seorang pembantu rumah hijrahan.

Secara keseluruhannya sebanyak 18 kes dalam masyarakat yang dilaporkan pada Isnin merupakan jumlah jangkitan tempatan tertinggi yang dilaporkan di Singapura sejak 3 Jun, apabila 35 kes dalam masyarakat dilaporkan.

Satu kes dalam dormitori pekerja hijrahan turut dilaporkan, melibatkan seorang lelaki warga India berusia 26 tahun yang bekerja sebagai juruelektrik di GT ENGRG. Beliau menetap di Westlite Juniper at 23 Mandai Estate.

Kes tunggal dalam dormitori itu juga adalah kontak rapat Kes 64184.

SATU KES TANPA HUBUNG KAIT

Setelah melaporkan dua kes tanpa hubung kait dalam kemas kini awalnya, MOH mengubah jumlah tersebut menjadi satu setelah menjalankan siasatan epidemiologi.

Satu-satunya kes yang tidak terkait dengan kes-kes terdahulu adalah seorang pekerja pembersihan di 375 dan 376 Clementi Avenue 4, iaitu seorang lelaki warga Singapura berusia 79 tahun yang bekerja di AO ServicePro.

Enam kes import dilaporkan, dengan kesemuanya dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura. Tiga daripada mereka adalah warga Singapura atau Penduduk Tetap (PR).

Secara keseluruhannya, Singapura melaporkan 25 jangkitan baru COVID-19 pada Isnin.

Lagi 25 pesakit dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah pesakit COVID-19 yang sudah pulih sepenuhnya seramai 61,894.

Buat masa ini terdapat 138 kes di hospital, dengan dua dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi. Seramai 235 kes diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.

LOKASI BARU YANG DIKUNJUNGI KES DALAM MASYARAKAT

Pusat Penjaja Telok Blangah dan tiga pusat beli-belah dimasukkan ke dalam senarai tempat awam yang dikunjungi oleh kes-kes COVID-19 dalam masyarakat semasa tempoh berjangkit.

VivoCity, Ion Orchard dan Excelsior Shopping Centre juga dimasukkan dalam senarai tersebut.

Senarai lengkap lokasi baru adalah seperti berikut:

Setakat sehingga Isnin, Singapura melaporkan 62,301 kes COVID-19 dengan 34 kematian.

– CNA/TQ/tq

HomeBERITA10 daripada 18 kes COVID-19 dalam masyarakat terkait kelompok pasar Bukit Merah...

Berkaitan

POPULAR