[Video] Pesilat cilik amuk, sampai wasit terpaksa usung keluar gelanggang

Garangnya! Begitulah gelagat pesilat cilik perempuan yang dikatakan tidak dapat menerima kekalahan dalam satu pertandingan silat.

Melalui rakaman 21 saat yang dimuat naik Nur Azreen Mohd Nizam ke Twitter pada 7 Oktober lalu, pesilat itu dilihat membentak ketika lawannya menghulur tangan untuk bersalam, sejurus wasit mengangkat tangan pemenang.

Selepas amukan kanak-kanak itu gagal dipujuk di gelanggang berpasir, wasit kemudian terpaksa mengangkat tubuh pesilat tersebut dan membawanya keluar.

“Adik ni tak relax weh. Hahahaaha.. Sampai wasit kena usung keluar gelanggang laa,” kata Nur Azreen yang turut mengakui rakaman tersebut diperoleh daripada WhatsApp. Setakat ini, rakaman itu ditonton lebih 650,000 kali.

Dalam rakaman lain pada bebenang sama, pesilat tersebut dilihat tidak dapat mengawal kemarahannya akibat diserang bertubi-tubi hingga memaksa wasit campur tangan dengan memenangkannya.

Sekalipun ramai warga maya melabel kanak-kanak itu “baran” dalam kejadian yang tidak diketuai lokasi dan tarikh, ada pengguna Twitter yang melihat dari sudut positif.

“Dari sudut positif, dia ada sifat susah nak menyerah dan kuat semangat. Dari sudut negatif dia orang yang susah terima hakikat,” kata Yush Azimie.

“Kena guide (beri panduan) dia lagi. Semangat tu ada dah cuma cara nk terjemahkan belum ada. Good luck (semoga berjaya) dik, abang dulu pun macam ko jugak,” kata pengguna lain pula.