‘Jika Calon Bukan Melayu, Jentera UMNO Akan Lumpuh’

KUALA LUMPUR – Calon Melayu menjadi keutamaan dan kehendak rata-rata pengundi di Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi berkenaan yang akan diadakan pada bulan depan.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, parti itu menjadi gerun dengan mood masyarakat tempatan yang pada awalnya berpendapat mereka akan bersikap terbuka dengan calon bukan Melayu.

Jelasnya, jika Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon Melayu, jentera UMNO akan lumpuh pada PRK itu nanti.

“Kalau BN berani letak calon Melayu selepas berunding dengan MCA, kita ada peluang baik untuk menang.

“Kalau letak calon bukan Melayu, BN akan kalah. Jadi kita tunggu orang atas (presiden parti) berbincang. Kalau bertanding hendak kalah buat apa. Kalau letak calon bukan Melayu, pengundi Cina tidak akan undi,” katanya yang baharu pulang dari Tanjung Piai itu kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn di sini semalam.

Annuar turut menjangka pengundi Cina akan merosot pada PRK Tanjung Piai apabila mereka tidak akan keluar mengundi.

Jelas beliau, peratus keluar mengundi kaum itu mungkin di bawah 50 peratus manakala Melayu bakal mencatat lebih 80 peratus.

“Kita mungkin umum nama calon pada 28 Oktober ini, sehari lepas perayaaan Deepavali,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 2 November ini (Sabtu) sebagai hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Manakala hari mengundi pula ditetapkan pada 16 November (Sabtu).

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham YB Datuk Wira Dr. Md Farid bin Md. Rafik pada 21 September lalu.- MalaysiaGazette