Ikutlah ‘Rule Of Law’, Jangan Hanya Gertak Di Media – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tidak gentar untuk berdepan dengan tindakan undang-undang dan bersedia ke mahkamah berdepan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Namun demikian beliau masih belum menerima sebarang notis berkaitan biarpun Mujahid dikatakan telah membuat notis tuntutan yang diberi kepada Dr Asyraf melalui peguamnya Noorazmir Zakaria.

“Wahai Kekanda YB Dr Mujahid Yusof Rawa, jangan hanya menggertak di laman Malaysiakini, kalau benar nak ambil tindakan undang-undang hantar sahaja notis ke pejabat Pemuda UMNO. Kita berentap di mahkamah untuk cari kebenaran! Ikutlah prosedur perundangan, notis saman harus diserahkan kepada individu yang dituntut, bukan kepada media. Ikutlah Rule of Law!”

Demikian bidas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, berkaitan kenyataan Mujahid yang mendakwa telah memulakan tindakan undang-undang terhadap beliau.

Dalam laporan media semalam, Mujahid dikatakan telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Asyraf selepas tempoh seminggu untuk memohon maaf yang bermula 1 Oktober lalu telah berlalu.

Terdahulu, Mujahid telah mendesak Dr Asyraf Wajdi agar memohon maaf secara terbuka dalam tempoh seminggu berkenaan dakwaan penjualan aset-aset strategik Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM2.6 bilion. Permohonan maaf secara terbuka itu perlu dibuat kerana dakwaan yang dibuat Dr Asyraf adalah tidak berasas dan merupakan fitnah.

Sebelum itu, Dr Asyraf dalam satu kenyataan media meminta Mujahid segera mengemukakan penjelasan berkenaan penjualan aset-aset strategik TH bernilai RM2.6 bilion termasuk pegangan saham dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM1.8 bilion. – UMNO ONLINE